1.0 Pendahuluan.
Pengurusan kolam merupakan
aktiviti yang penting dalam bidang akuakultur. Pengurusan kolam bermula
dari benih ikan mula dilepaskan sehinggalah ikan-ikan yang diternak
mencapai saiz pasaran dan kerja-kerja mengutip hasil dijalankan.
Pengurusan yang baik akan menentukan kejayaan dalam bidang ternakan
ikan, projek dapat diteruskan dan memberi keuntungan kepada penternak.
2.0 Langkah-langkah yang perlu diberi perhatian dalam pengurusan kolam.
2.1 Perlepasan benih.
2.1.1 Saiz benih.
Saiz benih yang sesuai untuk dilepaskan ke dalam kolam ternakan adalah bergantung kepada jenis ikan seperti berikut:-
• Lampam Jawa 2.5 cm
• Tilapia Merah 5.0 cm
• Keli 5.0 cm
• Jelawat 10.0 cm
• Kap Rumput 10.0 cm
• Patin 5.0 cm
2.1.2 Kadar perlepasan.
Kebiasaannya
ternakan secara monokultura diamalkan oleh penternak. Penentuan kadar
perlepasan adalah ditentukan oleh perkara-perkara berikut:
• Jenis dan kelakuan ikan.
• Saiz pasaran yang dikehendaki.
• Keadaan alam sekitar yang disediakan untuk ikan hidup dan membesar.
• Kemampuan penternak untuk menyediakan makanan.
Kadar perlepasan adalah seperti berikut :-
• Lampam Jawa 5 ekor/m2
• Tilapia Merah 5 ekor/m2
• Keli 50 ekor/m2
• Jelawat 3 ekor/m2
• Kap Rumput 3 ekor/m2
• Patin 5 ekor/m2
2.1.3 Masa untuk melepaskan benih.
Masa
yang sesuai untuk melepaskan benih ikan adalah pada waktu pagi dan
lewat petang. Elakkan melepaskan benih pada waktu tengahari di mana pada
saat itu cuaca panas dan suhu air kolam terlalu berbeza dengan suhu air
dalam bekas ikan. Suhu yang terlalu berbeza akan menyebabkan benih yang
dilepaskan akan mengalami ketegangan dan boleh mengakibatkan kematian
yang tinggi semasa benih dilepaskan ke dalam kolam.
2.1.4 Tindakan-tindakan sebelum benih dilepaskan.
Benih
yang diterima dari pembekal lazimnya dibungkus dalam beg plastik yang
mengandungi gas oksigen. Semasa dalam perjalanan dari hatcheri ke kolam,
suhu air akan berubah. Oleh itu sebelum benih dilepaskan, rendamkan beg
plastik ke dalam kolam selama 15 minit atau sehingga suhu air dalam beg
plastik sama dengan suhu air kolam.
Kadangkala benih juga
diangkut dengan lori khas. Biasanya benih ditempatkan di dalam tangki
yang dimuatkan di dalam lori dan dibekalkan dengan pengudaraan. Dalam
kes begini, penternak harus terlebih dahulu menyukat suhu dari dalam
tangki dan suhu air kolam dan bandingkan. Sekiranya suhu air dalam bekas
lebih tinggi dari suhu air kolam, maka penternak perlu menambah air
batu ke dalam tangki supaya suhu air menurun sehingga ke paras yang sama
dengan suhu air kolam. Sekiranya suhu air kolam lebih tinggi dari suhu
air dalam bekas benih maka tindakan untuk menjemur tangki perlu
dilakukan sehingga suhu air meningkat dan sama dengan suhu air kolam.
2.1.5 Kaedah perlepasan benih ikan.
Bagi
benih yang dibungkus di dalam beg plastik, penternak memastikan
terlebih dahulu bahawa suhu air dalam beg plastik dan suhu air kolam
adalah sama.Setelah suhu sama, buka ikatan beg plastik dan masukkan air
kolam sedikit demi sedikit ke dalam beg plastik dan biarkan benih keluar
sendiri dari beg plastik.
Bagi benih yang diangkut dengan lori,
tangkap benih dan bubuh di dalam bekas. Bawa bekas tersebut di tebing
kolam dan masukkan air kolam ke dalam bekas sedikit demi sedikit dan
kemudian biarkan benih berenang keluar dari bekas.
2.2 Kawalan pertumbuhan plankton.
Kekeruhan
air yang disebabkan oleh fitoplankton dan zooplankton tidak akan
memudaratkan ikan secara langsung. Fitoplankton bukan sahaja
mengeluarkan oksigen semasa proses fotosintesis malahan menjadi makanan
kepada zooplankton dan beberapa spesies ikan seperti kap perak.
Fitoplankton juga akan menggunakan ammonia yang dikeluarkan oleh ikan
sebagai sumber nutriennya. Zooplankton pula merupakan makanan semulajadi
yang utama kepada benih ikan. Para penternak harus memastikan bahawa
tidak terdapat terlalu banyak plankton di dalam kolam kerana plankton
akan menggunakan sumber oksigen terlarut yang sedia ada untuk proses
pernafasan pada waktu malam. Selain dari itu, pertumbuhan plankton yang
keterlaluan, dikenali sebagai ledakan ( bloom ) akan menyababkan
kekurangan oksigen dalam air secara mendadak. Keadaan ini berlaku
apabila fitoplankton itu mati. Para penternak perlu mengawasi kandungan
oksigen terlarut dalam kolam ternakan. Perbezaan kandungan oksigen
terlalrut yang besar antara waktu siang dan malam akan menyebabkan
kekurangan oksigen yang serius.
Untuk mengatasi masalah di atas,
penternak perlu mengeluarkan lima puloh peratus air kolam sediada dan
gantikan dengan air bersih. Selain dari itu pastikan semua makanan yang
diberi habis dimakan oleh ikan dan tiada sisa yang boleh menyebabkan
kesuburan kolam meningkat. Ikan kap perak boleh dilepaskan untuk
mengawal pertumbuhan plankton yang melampau.
2.3 Pertukaran air.
Dalam
tempoh ternakan, mutu air perlu diperiksa dari masa ke semasa. Ini
bertujuan untuk memastikan mutu air sentiasa berada pada tahap yang baik
dan sesuai untuk ikan hidup dan membesar. Walaubagaimanapun pada
keadaan tertentu, air perlu ditukar atau diganti. Kebiasaannya air kolam
sediada dibuang sebanyak 50 peratus dan kemudian dimasukkan air baru.
Keadaan ini akan meningkatkan kualiti air. Bagi sistem tertutup,
biasanya air dialirkan sepanjang masa dan jumlah pertukaran air berlaku
antara 50 – 100 peratus.
2.4 Pemakanan Ikan.
2.4.1 Jenis-jenis Makanan.
a. Makanan semulajadi.
Makanan
semulajadi adalah terdiri dari makanan asasi seperti plankton yang
terdiri dari fitoplankton dan zooplankton. Makanan ini penting bagi
benih ikan diperingkat asuhan. Makanan ini dihasilkan melalui ternakan
makanan hidup. Di antara makan hidup yang mudah dihasilkan ialah moina,
rotifer, cladosera, daphnia dan sebagainya. Ikan seperti kap perak dan
kap kepala besar hanya memakan makanan semulajadi sepanjang hayatnya.
b. Makanan tambahan.
Makanan tambahan adalah terdiri dari bahan-bahan dari alam semulajadi dan sisa pertanian. Makanan tambahan adalah terdiri dari
i. Daun tumbuhan seperti daun ubi, kangkong dan pisang.
ii. Sisa sayuran.
iii. Dedak padi, gandum dan barli.
iv. Ikan baja.
c. Makanan rumusan.
Makanan
rumusan adalah merupakan makanan yang lengkap dan seimbang. Ia terdiri
dari campuran karbohiderat, protin, lemak, mineral dan vitamin. Sumber
campuran tersebut adalah terdiri dari bahan-bahan berikut:
i. Sumber protin terdiri dari:
• Fish meal.
• Hampas kacang soya.
• Hampas kacang tanah.
• Serbuk bulu
ii. Sumber karbohiderat.
• Dedak padi.
• Dedak gandum
• Dedak barli.
iii. Sumber lipid.
• Minyak ikan.
Makanan
rumusan biasanya dalam bentuk basah dan kering. Makanan rumusan kering
yang dipanggil pelet lebih digemari oleh penternak kerana ia mudah
didapati di pasaran dan mudah disimpan. Ada pelet yang tenggelam dan ada
yang timbul. Pelet timbul lebih digemari oleh penternak kerana
penternak dapat memberi makanan sedikit demi sedikit dan dapat
menganggarkan makanan yang diperlukan oleh ikan. Keadaan ini dapat
mengelakkan pembaziran makanan.
Makanan rumusan atau pellet terdiri dari 3 kategori iaitu
i. Pelet Starter
Merupakan
makanan permulaan yang diberikan kepada benih yang baru dilepaskan ke
dalam kolam ternakan sehingga berumur 1 – 2 bulan. Biasanya mengandungi
protin melebihi 32 peratus dan bersaiz kecil ( kurang dari 1.0 mm ).
ii. Pelet grower.
Merupakan
makanan untuk tumbesaran. Mengandungi protin melebihi 20 peratus.
Saiznya lebih besar dari pellet starter. Di beri kepada ikan yang
berumur melebihi 1 – 2 bulan hingga berumur
4 – 5 bulan.
iii. Pelet finisher.
Merupakan
makanan penamat. Mengandungi protin antara 18 – 24 peratus. Saiznya
lebih besar dari makanan tumbesaran. Diberi kepada ikan yang berumur
melebihi 4 – 5 bulan sehingga mencapai saiz pasaran.
d. Kadar pemberian makanan.
Kadar
pemberian makanan bermaksud jumlah makanan yang perlu diberi kepada
ikan berdasarkan berat makanan dan umur ternakan bagi setiap hari
sepanjang tempoh ternakan. Kadar pemberian makanan yang disyorkan adalah
seperti berikut :
Umur ikan ( Bulan ) % / Berat badan ikan.
1 10
2 7
3 5
4 3
5 2
6 2
e. Kadar penukaran makanan ( Food Conversion Rate )
Kadar
penukaran makanan ( Food Conversion rate – FCR ) bermaksud keupayaan
sesuatu jenis ikan menukar beberapa kilogram makanan kepada 1 kilogram
berat badan dalam suatu tempoh ternakan.Contohnya :
FCR 2 : 1
Nisbah di atas bermaksud 3 kilogram makanan diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram ikan.
f. Menganggarkan jumlah makanan yang diperlukan oleh ikan ternakan bagi satu jangka masa ternakan.
Untuk
menentukan jumlah makanan yang diperlukan oleh ikan bagi satu jangka
masa ternakan, kerja-kerja penyampelan perlu dilakukan ke atas ternakan.
Biasanya kerja-kerja ini dilakukan dengan kekerapan sekali bagi setiap
dua minggu. Contohnya, sekiranya ternakan itu dijalankan selama 6 bulan
ini bermakna kerja-kerja penyampelan dijalankan sebanyak 11 kali.
Kerja-kerja penyampelan dilakukan dengan menangkap ikan dari sesuatu
kolam secara rawak menggunakan jala. Sebanyak 50 – 100 ekor ikan akan
ditangkap dan ditimbang berat serta diukur panjang dan direkodkan.
Kirakan purata berat dan anggarkan bilangan ikan yang masih ada di dalam
kolam. Darabkan berat purata dengan jumlah ikan yang terdapat di dalam
kolam berkenaan untuk mendapatkan jumlah berat ikan. Kemudian darabkan
jumlah berat badan dengan peratus makanan yang dicadangkan dari berat
badan.
Contoh :
Berat purata ikan - 50 gram.
Jumlah ikan - 5,000 ekor.
Kadar pemberian makanan - 10 % dari Berat Badan
Jumlah berat ikan - 50 gram x 5,000 ekor
= 250,000 gram
= 250 kg.
Jumlah makanan yang diperlukan = 250 kg x 0.1 %
= 25.0 kg
Ini
bermakna jumlah makanan yang perlu diberi kepada ikan dalam kolam
ternakan berkenaan adalah sebanyak 25 kg setiap hari selama 14 hari
berikutnya. Ualngi proses penyampelan ini sehingga ke 14 hari terakhir
sebelum kutipan hasil dimulakan.
2.4.2 Kaedah pemberian makanan.
a. Cara tabur.
Kaedah
ini biasa digunakan oleh penternak kecil. Makanan dimasukkan ke dalam
bekas seperti baldi dan penternak akan membawa makanan tersebut ke
sekeliling kolam sambil menabur makanan. Kaedah ini di dapati sesuai
bagi kolam-kolam kecil terutamanya kolam konkrit.
b. Menggunakan petak makanan.
Petak
makanan berbentuk segiempat dan diperbuat dari buloh atau batang paip
PVC yang boleh timbul dipermukaan air. Tambatkan petak makanan berkenaan
pada jeti supaya ia tidak dihanyutkan oleh air dan tiupan angin.
Makanan akan dicampakkan ke dalam petak makanan dan timbul dipermukaan.
Ikan akan datang berbondong-bondong untuk mengambil makanan tersebut.
Kaedah ini sesuai bagi makanan yang boleh timbul seperti pellet dan daun
tumbuh-tumbuhan. Melalui cara ini jadual pemberian makanan harian perlu
ditetapkan dan sebelum makanan diberi buat isyarat memanggil ikan
seperti mengetuk pelantar beberapa kali untuk menarik perhatian ikan.
Jika masa makanan diberi ditetapkan setiap hari misalnya jam 10.00 pagi,
ikan-ikan dengan sendiri berkumpul dipetak makanan pada jam 10.00 pagi
untuk menerima habuan mereka.
c. Menggunakan mesen penyembur makan.
Mesen
penyembur makanan adalah modifikasi dari mesen fogging yang digunakan
untuk menyembur racun serangga. Injin mesen ini menggunakan sumber
tenaga dari petrol. Pelet dimasukkan ke dalam tabung makanan dan
penternak menyemburkan makanan ke dalam kolam dari tebing. Kaedah ini
sangat baik kerana makanan dapat diberi keserata kolam dan ikan atau
udang mendapat makanan di mana sahaja mereka berada dalam kolam. Alat
ini sesuai digunakan di kolam yang bersaiz besar atau yang melebih 0.2
hektar.
d. ‘ Demad Feeder ‘
Alat ini tediri dari tabung
makanan, injap dan padel yang terendam di dalam air kolam. Alat ini
dipasang ditebing kolam. Makanan dimasukkan ke dalam tabung makanan
berbentul silo dengan bahagian bawahnya berbentuk kun dan dipasang
injap. Injap ini akan terbuka sekiranya padel digerakkan. Apabila hendak
makan ikan-ikan akan menyentuh padel dan pergerakkan ini akan membuka
injap dan makanan akan jatuh ke dalam kolam. Ikan-ikan akan merebut
makanan tersebut. Penternak perlu memeriksa tabung makanan dan
mengisinya semula apabila makanan di dalam tabung itu habis dimakan
ikan.Proses ini akan berulangan sehinggalah semua ikan sudah kenyang.
Kaedah
ini merupakan kaedah yang terbaik kerana ikan akan mengambil makanan
secukupnya sehingga kenyang. Ini bermakna ikan sentiasa mendapat makanan
yang mencukupi dan berterusan. Keadaan ini akan mempercepatkan
tumbesaran ikan.
e. ‘ Automatic Feeder ‘.
Alat ini terdiri
dari bekas makanan, injap saluran keluar makanan dan alat penggera
automatik. Makanan diisi kedalam bekas makanan. Alat penggera ini boleh
diset mengikut waktu yang diperlukan. Apabila sampai waktunya alat
penggera akan berbunyi,ikan akan berkumpul di bawah alat ini, injap
terbuka dan makanan akan jatuh kedalam kolam mengikut jumlah yang telah
ditentukan.
2.5 Kawalan pesaing dan musuh.
2.5.1 Pesaing.
Pesaing
kepada ikan ternakan adalah terdiri dari ikan-ikan liar, berudu katak
dan tumbuh-tumbuhan air. Pesaing berkenaan akan bersaing dengan ikan
yang diternak untuk menggunakan ruang tempat tinggal, berebut makanan,
bersaing menggunakan oksigen terlarut dan sebagainya.
Pesaing-pesaing
berkenaan perlu dihapuskan agar tumbesaran ikan tidak terganggu.
Biasanya ikan liar akan memasuki kolam melalui punca air. Untuk
mengatasi masalah ini pastikan salauran air masuk dipasang penapis untuk
mengelakkan telur dan benih ikan liar memasuki kolam. Untuk mengelakkan
katak bertelur di dalam kolam, pastikan kawasan sekitar kolam sentiada
besih dan tidak menjadi tempat katak berlindung. Pemeriksaan kolam perlu
dilakukan dari masa ke semasa. Sekiranya terdapat telur katak,
keluarkannya dari kolam dengan menggunakan penyauk.
Tumbuh-tumbuhan
air seperti hydrilla, rumpai dan sebagainya perlu dikeluarkan dari
kolam. Selain dari itu ikan kap rumput boleh dilepaskan untuk memakan
tumbuh-tumbuhan berkenaan.
2.5.2 Musuh.
Musuh ikan ternakan terbahagi kepada tiga kategori seperti berikut:
a. Musuh di daratan.
Di antara musuh di daratan ialah
• Biawak.
• Memerang
Biawak
akan menyerang ikan pada waktu siang manakala memerang pula menyerang
ikan pada waktu malam. Untuk mengatasi masalah biawak, kawasan kolam
boleh di pagar dengan zing. Biawak tidak berkeupayaan untuk memanjat
zing. Memerang boleh dikawal dengan memagar kawasan ternakan.
b. Musuh di dalam air.
Di antara musuh ikan di dalam air ialah
• Ular.
• Belut.
• Serangga air ( musuh kepada benih ikan )
Ular
air dan ular sawa merupakan musuh ikan yang sukar dikesan. Untuk
mengelakkan ular berada di dalam kolam, pastikan kawasan ternakan
sentiasa bersih. Jika terdapat ular di dalam kolam, usaha untuk
menghapuskannya perlu dilaksanakan. Biasanya belut hidup di dalam lumpur
didasar kolam. Dianggap musuh di dalam selimut. Belut akan memakan
benih ikan yang dilepaskan. Untuk memastikan belut tidak berada di dalam
kolam, kerja-kerja mengapur kolam perlu dijalankan dengan teliti semasa
penyediaan kolam. Dasar dan ban kolam yang berlubang perlu dikapur
dengan betul supaya telur dan benih belut dapat dihapuskan. Serangga air
seperti ‘ dragon fly nymph ‘ merupakan musuh utama benih ikan. Larva
ini mesti dihapuskan dengan cara meminyak kolam.
b. Musuh di udara.
Musuh di udara terdiri dari
i. Burung Lang
Burung
lang menyerang ternakan pada waktu siang. Ikan yang besar dan telah
mencapai saiz pasaran menjadi sasarannya. Serangan lebih berkesan
terhadap kolam yang airnya jernih dan ikan mudah dikesan dari udara.
Bagi
mengelakkan burung lang mengerang ternakan pastikan air kolam sentiasa
hijau agar dapat melindungi ikan dari pandangan burung helang. Kaedah
lain ialah tutup kawasan ternakan dengan jarring agar helang tidak dapat
menyerang ikan.
ii. Burung Raja Udang atau Pekaka
Burung
raja udang menyerang mangsa pada waktu siang. Burung ini akan hinggap
pada pokok yang berhampiran dengan kolam untuk mengesan ikan sebelum
menyambar mangsa. Mangsa tumpuannya adalah benih ikan yang masih kecil.
Burung ini tidak mampu menyerang ikan-ikan besar.
Bagi mengatasi
masalah serangan dari burung ini, pastikan tiada pokok atau tiang
berhampiran kolam yang boleh menjadi tempat untuk hinggap bagi burung
ini. Selain dari itu kawasan ternakan perlu dipagar untuk mengatasi
masalah ini.
iii. Burung Gagak
Burung gagak menyerang
mangsa pada waktu siang. Mangsanya tertumpu kepada benih ikan yang masih
kecil dan ikan-ikan yang lemah berenang dipermukaan air.
Kaedah
untuk mengatasi masalah ini ialah hapuskan burung ini kerana ia banyak
membawa masalah kepada alam sekitar. Hapuskan tempat burung ini
bertenggek semasa hendak mengesaan mangsa.
iv. Burung Hantu
Burung
hantu menyerang mangsa pada waktu malam terutamanya pada waktu tengah
malam. Biasanya pada masa ini kandungan oksigen larut mula menurun di
bahagian dasar kolam tetapi kandungan oksigen terlarut agak tinggi di
permukaan air. Oleh itu ikan-ikan akan berada di permukaan air untuk
bernafas. Semasa ini burung hantu mudah menyerang ikan.
Kaedah
untuk mengatasi masalah ini ialah pastikan air kolam sentiasa hijau dan
kandungan oksigen larut sentiasa tinggi. Selain dari itu tutup kawasan
ternakan dengan jaring.
2.6 Pengutipan Hasil.
2.6.1 Masa ternakan.
Masa atau tempoh ternakan adalah bergantung kepada jenis dan saiz benih ikan yang dilepaskan seperti berikut :
• Tilapia merah - 4 - 6 bulan
• Keli - 3 - 4 bulan
• Patin - 4 - 6 bulan
• Lampam Jawa - 8 - 10 bulan
• Kap Rumput - 10 - 12 bulan
• Jelawat - 8 - 10 bulan
2.6.2 Kaedah kutipan.
Biasanya dua kaedah kutipan hasil dijalankan iaitu
a. Kutipan secara berperingkat.
Melalui
kaedah ini, hasil ternakan ditangkap secara berperingkat-peringkat
menggunakan jala atau pukat tarik. Ikan yang ditangkap disimpan dalam
tangki simpanan sementara dan ikan dijual secara runcit . Cara ini ikan
dipasarkan secara hidup-hidup. Setelah 90 peratus hasil ditangkap kolam
akan dikeringkan dan ikan akan ditangkap ke semuanya.
b. Kutipan sekali gus.
Melalui
kaedah ini ikan ditangkap dengan pukat tarik dan operasi ini memerlukan
tenaga kerja yang ramai dan mahir. Kemungkinan ikan dipukat beberapa
kali dan seterusnya kolam dikeringkan. Ikan-ikan yang ditangkap diangkut
dengan lori samada hidup atau mati dan dibawa ke pusat pengumpulan
untuk dipasarkan.
2.6.3 Teknik kutipan.
a. Menggunakan pukat tarik.
Menangkap
hasil ternakan menggunakan pukat tarik merupakan teknik yang biasa
digunakan terutamanya di kolam ternakan. Bagi kolam seluas 0.2 hektar,
sebidang pukat berukuran 100 meter panjang dan 4 meter lebar dengan mata
pukat 2.5 cm digunakan untuk menangkap ikan.Pukat ini dilengkapi dengan
pelampung pada tali kajar atas dan pemberat pada tali kajar bawah.
Seramai 6 orang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi ini. Ikan
yang terperangkap di dalam pukat dikumpulkan dan pemilihan atau grading
dilakukan sebelum hasil dipindahkan ke tangki simpanan.
b. Mengeringkan kolam.
Kaedah
ini biasa digunakan apabila jumlah ikan yang terdapat dalam kolam
adalah tidak banyak dan ikan sukar ditangkap kerana sudah liar.
Walaubagaimanapun teknik ini sering digunakan untuk menangkap udang dan
ikan keli. Melalui kaedah ini hasil dapat dipungut 100 peratus.
c. Menggunakan kesan kandungan oksigen terlarut.
Kaedah
ini sering digunakan di dalam sistem ternakan tertutup seperti ternakan
dalam kolam lucas dan kolam konkrit. Tutup suis kincir air dan saluran
air masuk pada awal pagi. Apabila kandungan oksigen terlarut berkurangan
ikan akan mula mencari tempat yang mengandungi oksigen terlarut yang
tinggi. Bila berlaku keadaan sedemikian, buka ruangan tempat memungut
hasil dan buka suis alat pengudaraan. Ruangan tempat memungut hasil akan
mengandungi oksigen terlarut yang tinggi dan ikan akan berpusu-pusu ke
tempat itu untuk mendapatkan oksigen terlarut. Apabila tempat tersebut
penuh dengan ikan, tutup pintu dan ikan dipunggah dan dipindahkan ke
tangki simpanan.
2.6.4 Pengendalian lepas tuai.
Selepas
hasil dituai, ikan-ikan tersebut jika perlu dinyah bau untuk
menghilangkan bau hanyir dan lumpur. Ikan-ikan yang telah bersih boleh
dipasarkan sama secara hidup atau mati. Ikan yang hidup dihantar ke
pasar dengan menggunakan lori. Ikan-ikan tersebut dimasukkan ke dalam
tangki yang ada bekalan air bersih dan lengkap dengan alat pengudaraan.
Bagi mengurangkan aktiviti ikan tersebut suhu air perlu direndahkan
dengan menggunakan air batu.
Bagi ikan yang dipasarkan secara
mati, masukkan ikan-ikan tersebut ke dalam bekas yang ada ais supaya
ikan tersebut sentiasa segar sehingga dibeli oleh pengguna. Selain dari
itu ikan-ikan tersebut boleh disejukbeku sebelum dipasarkan. Kaedah ini
sesuai untuk tujuan pemperosesan.
2.7 Pemasaran.
2.7.1 Harga.
Biasanya ada tiga kategori harga untuk memasarkan ikan iaitu
a. Harga Ladang.
Harga
di ladang ditentukan oleh kos pengeluaran bagi setiap kilogram ikan
yang dihasilkan dan dicampur dengan keuntungan yang bakal diperolehi
oleh penternak. Di samping itu harga di ladang juga ditentukan oleh
permintaan dan penawaran di pasaran.
b. Harga borong.
Harga
borong adalah harga yang ditentukan oleh pemborong. Harga ini meliputi
harga ladang campur kos pengendalian, kos pengangkutan dan keuntungan
yang bakal diperolehi oleh pemborong. Biasanya harga borong lebih tinggi
dari harga di ladang.
c. Harga runcit.
Harga runcit
merupakan harga yang akan dibayar oleh pengguna. Harga ini jauh lebih
tinggi dari harga borong. Harga runcit meliputi harga borong campur
dengan beberapa kos yang ditanggung oleh peruncit seperti kos upah, kos
menyimpan, kos sewa, keuntungan dan sebagainya.
Sekiranya
penternak menjual sendiri hasilnya secara runcit, maka keuntungan yang
diperolehi adalah lebih lumayan berbanding dengan menjual hasil kepada
pemborong. Namun begitu tidaklah mudah untuk memasarkan hasil yang
banyak secara runcit oleh penternak kerana banyak faktor yang perlu
dipenuhi.
2.7.2 Pasaran.
Biasanya ikan dipasarkan dalam dua kategori iaitu
a. Pasaran tempatan.
Pasaran tempatan terbahagi kepada dua iaitu
i. Pasar awam.
Ikan-ikan
yang dijual di pasar awam adalah dalam dua bentuk iaitu ikan yang
dijual secara segar seperti ikan hidup atau ikan basah dan ikan yang
disejukbeku. Ikan hidup yang dijual ditempatkan di dalam tangki atau
bekas yang diberi bekalan oksigen. Biasanya ikan ini mendapat permintaan
yang tinggi dan harga yang ditawarkan agak tinggi berbanding dengan
ikan yang disejukbeku.
ii. Pasaraya.
Ikan yang dijual
di pasaraya biasanya dalam bentuk sejukbeku dan ikan yang telah siap
dibersihkan. Ikan-ikan tersebut dibungkus dengan teliti dan kelihatan
cantik untuk menarik minat pengguna. Terdapat juga pasaraya yang menjual
ikan yang telah diproses seperti fillet ikan yang siap sedia untuk
dimasak. Selain dari itu terdapat juga pasaraya yang menjual ikan hidup
seperti ikan keli dan tilapia merah.
b. Pasaran Luar Negara.
Sebahagian
dari ikan yang dihasil di negara ini dipasarkan ke luar negara. Ikan
hidup dipasarkan ke Singapura. Ikan-ikan tersebut diangkut dengan lori
dan dihantar ke Singapura. Selain dari ikan hidup, ikan yang disejukbeku
dan juga ikan yang telah diproses menjadi fillet dieksport ke luar
negara.
2.8 Catatan dan Penyimpanan Rekod.
Pengurusan
kolam yang baik adalah factor penting dalam mencapai kejayaan dalam
bidang akuakultur. Pengurusan yang lemah akan menyebabkan projek
akuakultur menemui kegagalan. Pengalaman masa lepas sangat berguna dan
berharga dalam merancang projek yang akan datang. Oleh itu, untuk
menggunakan sepenuhnya pengalaman yang telah diperolehi, penternak perlu
membuat rujukan. Oleh itu demi masa depan penternak perlu menyediakan
rekod yang berkaitan dengan aktiviti pengurusan kolam. Rekod yang
dimaksudkan adalah seperti berikut :
2.8.1 Rekod pengurusan kolam.
Di antara rekod pengurusan kolam yang perlu disediakan ialah
a. Rekod perlepasan benih ikan.
Rekod ini mestilah mengandungi perkara-perkara berikut:
• No. Kolam.
• Saiz kolam.
• Jenis benih yang diternak.
• Kadar perlepasan.
• Jumlah ikan yang dilepaskan.
• Tarikh benih dilepaskan.
• Jangka masa ternakan.
• Tarikh ikan dihasilkan.
b. Rekod makanan ikan
Dua jenis rekod yang berkaitan dengan makanan perlu diadakan seperti berikut :-
i. Rekod Stok makanan.
Rekod ini berbentuk buku stok. Segala makanan yang dibeli mesti
direkod di dalam buku ini yang meliputi
• Tarikh pembelian.
• Nama pembekal
• Jumlah beg makanan
• Rekod masuk
• Rekod Keluar
• Rekod Baki
• Tandatangan pegawai berkaitan.
ii. Rekod pemberian makanan harian.
Rekod
ini perlu disediakan bagi setiap kolam ternakan. Rekodkan jumlah
makanan harian yang diberi kepada ikan bermula dari benih dilepaskan
sehinggalah dua hari sebelum kutipan hasil dijalankan. Rekodkan juga
data-data sampling untuk menentukan jumlah makanan yang perlu diberi
untuk tempoh dua minggu selepas sesuatu sampling dijalankan.
2.8.2 Rekod penyampelan.
Rekod
penyampelan perlu disediakan dan disimpan dengan rapi untuk rujukan di
masa hadapan. Rekod penyampelan ini meliputi perkara berikut :
a. Tarikh dan masa penyampelan dilakukan.
b. Bilangan ikan yang disampel.
c. Bacaan berat ikan.
d. Bacaan panjang ikan.
e. Jantina ikan.
f. Umur ikan.
2.8.3 Rekod pembelian input/stok.
Pembelian
input untuk operasi ternakan perlu direkodkan supaya input yang
diperlukan sentiasa mencukupi untuk menjalankan ternakan. Rekodkan jenis
input, tarikh dibeli, harga, nama pembekal dan bilangan di dalam buku
stok. Urusan keluar masuk input mestilah direkodkan untuk memudahkan
semakan dan verifikasi stok. Stok yang berkurangan boleh dirancang untuk
pembelian input baru.
2.8.4 Rekod jualan.
Rekod
jualan perlu diadakan agar penternak tahu dimana hasil musim lalu
dipasarkan. Rekod ini meliputi tarikh kutipan hasil dijalankan, kepada
siapa ikan dijual, harga jualan dan kuantiti hasil yang telah dijual.
Rekod ini penting untuk membuat akaun untung rugi dan perancangan masa
hadapan.
2.8.5 Rekod pengeluaran.
Rekod pengeluaran bagi
setiap kolam perlu disediakan. Ia meliputi jenis ikan yang diternak,
tarikh perlepasan benih, kadar perlepasan, jumlah benih, tempoh
ternakan, kadar hidup dan jumlah pengeluaran. Rekod pengeluaran
keseluruhan ladang setiap tahun juga direkodkan dan bandingkan dengan
pengeluaran keseluruhan tahun-tahun sebelumnya untuk mengetahui samada
pengeluaran tahun semasa meningkat atau sebaliknya.
3.0 Penutup.
Amalan
pengurusan kolam yang baik disamping mengamalkan Kod Amalan Baik
Akuakultur boleh menjamin kejayaan seseorang penternak dalam bidang
akuakultur. Berdasarkan kepada rekod-rekod yang disediakan seseorang
penternak mampu membuat analisa keatas ladangnya dan mampu membuat
perancangan yang lebih rapi dan teliti. Melalui data dan pengalaman yang
diperolehi pada musim-musim ternakan terdahulu memberi pengajaran dan
pengalaman yang berguna kepada penternak untuk berjaya di masa hadapan.
No comments:
Post a Comment